2015-1125-sms01

Pada Rabu, 13 Safar 1437 Hijrah bersamaan 25 November 2015 Masihi, Majlis Pelancaran 'SMS' Brunei Prihatin Bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) Tahun 2015-2016 dan Penyampaian Sumbangan DANA Dalam Bentuk Kupon Untuk Pembelian Peralatan dan Keperluan Persekolahan Anak-Anak Yatim DANA Bagi Tahun 2016 diadakan bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pagi tersebut dimulakan dengan penyampaian Promo 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2015-2016 dalam bentuk cakera padat (DVD) daripada pihak Syarikat Magic Media yang telah menaja pembikinan promo 'SMS' tersebut yang akan ditayangkan di Radio dan Televisyen Brunei termasuk di beberapa buah pawagam yang terlibat iaitu The Mall Cineplex dan Times Cineplex.

Penyampaian tersebut disampaikan oleh Yang Mulia Pg Farhana binti Pg Hj Bujang, Pengurus Am Syarikat Magic Media kepada tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Pemegang Amanah DANA. Projek SMS Brunei Prihatin bagi DANA ini akan berjalan selama lebih 2 bulan (67 hari) iaitu bermula dari 25 November 2015 hingga 31 Januari 2016.

Bagi menjayakan SMS Brunei Prihatin bagi DANA, dua buah syarikat telekomunikasi telah bersedia memberi kemudahan perkhidmatan SMS iaitu DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn. Bhd. Orang ramai yang berhasrat untuk membuat sumbangan mereka kepada anak-anak yatim melalui SMS Brunei Prihatin bagi DANA bolehlah memberi sumbangan melalui SMS sama ada B$1.00 atau B$5.00 atau B$10.00 atau B$15.00 atau B$20.00. Setiap SMS yang dikirim khusus bagi sumbangan ini tidak akan dikenakan sebarang caj perkhidmatan oleh kedua-dua syarikat telekomunikasi berkenaan.

Majlis diikuti dengan tayangan Promo 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2015-2016 dan diteruskan lagi dengan sumbangan 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA 2015-2016 yang didahului oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, mantan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA. Sebanyak 3,981 keping kupon bagi pembelian peralatan dan keperluan persekolahan bagi tahun 2016 akan disampaikan kepada anak-anak yatim yang berdaftar di Sekretariat DANA di seluruh negara melalui ketua-ketua kampong. Setiap seorang anak yatim DANA akan menerima sumbangan berbentuk kupon yang bernilai sebanyak B$70.00 (Ringgit Brunei : Tujuh Puluh Sahaja)