Sebuah Lembaga Pemegang Amanah DANA yang terdiri dari seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan beberapa pemegang amanah yang lain, yang semuanya adalah dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, adalah bertanggungjawab terhadap pengawalan dan pengurusan pentadbiran DANA.

Lembaga ini bertanggungjawab memastikan rekod perakaunan ada disimpan dengan sempurna dan sewajarnya untuk menunjukkan dan menerangkan semua urusan DANA, dan yang akan dapat mendedahkan pada bila-bila masa, dengan ketepatan yang munasabah, kedudukan kewangan DANA pada masa itu.

Lembaga ini juga menyediakan penyata akaun bagi setiap tahun kewangan DANA.

Lembaga juga bertanggungjawab menyediakan bagi setiap tahun kewangan DANA satu laporan tahunan yang mengandungi laporan oleh Lembaga kegiatan-kegiatan DANA pada tahun itu dan maklumat lain berkaitan dengan DANA atau pegawai-pegawainya. Laporan tahunan ini hendaklah dihantar kepada Menteri yang bertanggungjawab bagi kewangan oleh Lembaga.

Laporan tahunan ini hendaklah disertakan bersamanya penyata akaun bagi tahun kewangan yang berkenaan, bersama dengan laporan yang dibuat oleh juruodit mengenai penyata akaun itu.

DANA hendaklah dalam masa enam bulan dari berakhirnya tahun kewangannya menyembahkan ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, satu laporan mengenai perjalanan DANA sepanjang tahun itu.