2016-1124-sms01

Majlis Pelancaran 'SMS' Brunei Prihatin Bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) Tahun 2016-2017 dan Penyampaian Sumbangan DANA Dalam Bentuk Kupon Untuk Pembelian Peralatan dan Keperluan Persekolahan Anak-Anak Yatim DANA Bagi Tahun 2017 telah pun diadakan pada 24 Safar 1438 Hijrah bersamaan 24 November 2016 Masihi bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Ahmad Rithaudin bin Haji Sabtu, Pegawai Tugas-Tugas Khas. Seterusnya ialah ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, mantan Ketua Pegawai Eksekutif DANA. Pada majlis tersebut pihak Syarikat Magic Media yang telah berbesar hati untuk menaja pembikinan promo 'SMS' yang mana telah pun ditayangkan di Radio dan Televisyen Brunei termasuk di beberapa buah pawagam yang terlibat iaitu The Mall Cineplex, Times Cineplex dan The Arena Cineplex.

Promo SMS telah pun disampaikan oleh Yang Mulia Pg Farhana binti Pg Hj Bujang, Pengurus Am Syarikat Magic Media kepada tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Pemegang Amanah DANA.Pada Majlis tersebut juga diteruskan dengan Pelancaran 'SMS' Brunei Prihatin bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim (DANA) 2016-2017. Tujuan utama bagi mengadakan 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA ini adalah untuk meningkatkan rasa pemedulian dan kasih sayang dikalangan masyarakat terhadap golongan yang kurang bernasib baik yang memerlukan perhatian dan bantuan khususnya anak-anak yatim. Di samping itu, projek ini juga adalah merupakan salah satu usaha DANA dalam mempelbagaikan cara atau mekanisme kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan mereka khusus kepada anak-anak yatim di negara ini.

Projek SMS Brunei Prihatin bagi DANA ini telah berjalan selama lebih 2 bulan (69 hari) iaitu bermula pada 24 November 2016 hingga 31 Januari 2017. Bagi menjayakan SMS Brunei Prihatin bagi DANA, dua buah syarikat telekomunikasi telah bersedia memberi kemudahan perkhidmatan SMS iaitu DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn. Bhd. Majlis diikuti dengan tayangan Promo 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2016-2017 dan diteruskan lagi dengan sumbangan 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA 2016-2017 yang didahului oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian poster 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA 2016-2017 daripada DST yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Lattif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat DST kepada tetamu kehormat majlis. Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan DANA dalam bentuk kupon sebanyak 3,848 keping kupon bagi pembelian peralatan dan keperluan persekolahan bagi tahun 2017. Setiap seorang anak yatim yang berdaftar di Sekretariat DANA akan menerima sumbangan berbentuk kupon yang bernilai sebanyak B$70.00 (Ringgit Brunei : Tujuh Puluh Sahaja).

2016-1124-sms06

Kupon-kupon tersebut telah pun diserahkan oleh tetamu kehormat kepada Pegawai-Pegawai Daerah iaitu:

  • Daerah Brunei dan Muara diterima oleh Yang Mulia Awang Misli bin Haji Abdul Karim, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara;
  • Daerah Belait diterima oleh Yang Mulia Awang Mohd Abdul Hadi bin Haji Mohd Syarifuddin, wakil Pegawai Daerah Belait;
  • Daerah Tutong diterima oleh Yang Mulia Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, Pegawai Daerah Tutong;
  • Daerah Temburong diterima oleh Yang Mulia Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud, Pegawai Daerah Temburong.

Kupon-kupon tersebut telah pun diserahkan kepada anak-anak yatim di seluruh negara melalui ketua-ketua kampong masing-masing. Kupon-kupon ini sah ditukarkan / digunakan di kedai-kedai yang telah dikenalpasti oleh DANA iaitu kedai-kedai yang membekalkan buku-buku latihan, buku-buku kerja, peralatan tulis, pakaian sekolah, beg dan kasut sekolah serta kedai-kedai yang membekalkan barang-barang keperluan harian kanak-kanak (bagi anak yatim yang belum bersekolah). Sebanyak 28 buah syarikat yang membekalkan barang-barang tersebut telah dikenalpasti oleh DANA yang terletak di keempat-empat buah daerah bagi memberikan kemudahan kepada anak-anak yatim dan penjaga mereka untuk menukarkan kupon berkenaan dengan peralatan persekolahan yang mereka diperlukan.

Sumbangan tersebut dihasratkan bagi memberi galakan dan memberi kesedaran dikalangan anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dalam kehidupan mereka dimasa hadapan dan seterusnya memberi dorongan kepada mereka untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka. Bagi ibu dan penjaga pula, sumbangan ini dihasratkan bagi meringankan bebanan perbelanjaan yang ditanggung khususnya apabila menjelang penggal awal persekolahan anak-anak mereka. Adalah diharapkan bantuan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak yatim dan penjaga mereka. Dengan terlaksananya projek ini In syaa' Allah akan dapat memberikan kemudahan kepada setiap individu untuk menyalurkan sumbangan derma mereka hanya dengan menggunakan telefon pintar masing-masing.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pegawai-Pegawai Kanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Pegawai-Pegawai dari DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn. Bhd