2018-1126-sms01

Pada hari Isnin, 18 Rabiulawal 1440H bersamaan 26 November 2018M, Majlis Pelancaran 'SMS' Brunei Prihatin Bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) Tahun 2018-2019 dan Penyampaian Sumbangan DANA Dalam Bentuk Kupon Untuk Pembelian Peralatan dan Keperluan Persekolahan Anak-Anak Yatim DANA Bagi Tahun 2019 telah diadakan bertempat di Dewan Serba Guna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md Yussof, Timbalan Pengerusi 1 Lembaga Pemegang Amanah DANA.

 

Pelancaran 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA Tahun 2018-2019

Tujuan utama bagi mengadakan 'SMS' Brunei Pr'ihatin bagi DANA adalah untuk meningkatkan rasa pemedulian dan kasih sayang di kalangan masyarakat terhadap anak-anak yatim. Projek ini juga adalah merupakan salah satu usaha DANA dalam mempelbagaikan cara atau mekanisme yang mudah untuk orang ramai menyalurkan sumbangan ikhlas mereka khusus kepada anak-anak yatim di negara ini.

2018-1126-sms02

Projek SMS Brunei Prihatin bagi DANA 2018-2019 akan berjalan selama 67 hari iaitu bermula dari 26 November 2018 hingga 31 Januari 2019. Bagi menjayakan 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA, dua buah syarikat telekomunikasi telah bersedia memberi kemudahan perkhidmatan SMS iaitu DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn. Bhd. Orang ramai yang berhasrat untuk membuat sumbangan mereka kepada anak-anak yatim melalui SMS Brunei Prihatin bagi DANA bolehlah memberi sumbangan melalui SMS sama ada BND1.00 atau BND5.00 atau BND10.00 atau BND15.00 atau BND20.00. Setiap SMS yang dikirim khusus bagi sumbangan ini tidak akan dikenakan sebarang caj perkhidmatan oleh kedua-dua syarikat telekomunikasi berkenaan.

2018-1126-sms03

2018-1126-sms04

 

Bagi pengguna talian DST dan juga pengguna talian Progresif Cellular yang ingin membuat sumbangan bolehlah menaip kata laluan DANA dan diikuti dengan jumlah sumbangan (1 atau 5 atau 10 atau 15 atau 20) tanpa jarak dan menghantarnya ke nombor 38111. Misalnya: DANA5 (bagi sumbangan BND5.00).

Penyampaian Sumbangan DANA dalam bentuk kupon

Di majlis ini juga, DANA menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dalam bentuk kupon bagi pembelian peralatan dan keperluan persekolahan bagi tahun 2019. Sebanyak 3,717 keping kupon disumbangkan kepada seramai 3,717 orang anak-anak yatim yang berdaftar di Sekretariat DANA di seluruh negara. Setiap seorang anak yatim akan menerima sumbangan kupon yang bernilai sebanyak B$70.00.

Kupon-kupon tersebut seterusnya akan diserahkan kepada anak-anak yatim di seluruh negara melalui ketua-ketua kampong masing-masing.

Kupon-kupon ini sah ditukarkan atau digunakan di 30 buah syarikat yang membekalkan barang-barang tersebut telah dikenalpasti oleh DANA yang terletak di keempat-empat buah daerah, iaitu kedai-kedai yang membekalkan buku-buku latihan, buku-buku kerja, peralatan tulis, pakaian sekolah, beg dan kasut sekolah serta kedai-kedai yang membekalkan barang-barang keperluan harian kanak-kanak bagi anak yatim yang belum bersekolah.

Sumbangan ini dihasratkan bagi memberi galakan dan kesedaran di kalangan anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dalam kehidupan mereka di masa hadapan dan seterusnya memberi dorongan kepada mereka untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka. Bagi ibu dan penjaga pula, sumbangan ini dihasratkan bagi meringankan bebanan perbelanjaan yang ditanggung khususnya dalam menyediakan keperluan anak-anak mereka apabila menjelang penggal awal persekolahan nanti. Adalah diharapkan bantuan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak yatim dan penjaga mereka.

Turut hadir di majlis ini ialah Yang Mulia Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Ketua Pegawai Eksekutif DANA; Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, dan Jabatan Hal Ehwal Masjid; Pegawai-Pegawai Kanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Pegawai-Pegawai dari DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn. Bhd.

2018-1126-sms05

2018-1126-sms07

2018-1126-sms08