16-01-2012-03

Pada hari Khamis, 27 Zulhijjah 1432H bersamaan 24hb November 2011M, bermula jam 9.30 pagi, bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan telah juga diadakan majlis yang tersebut diatas.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Ustaz Hj Shamsul Muawan bin Hj Shodiq, Guru Ugama Sekolah Menengah YSHHB.

Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud, Ketua Pegawai Eksekutif DANA Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim.

 Sebanyak 2,541 keping kupon akan disampaikan di majlis ini iaitu bagi:

• Daerah Brunei dan Muara – 1,769 keping diterima oleh Yang Mulia Awang Haji Abd Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah, Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara;
• Daerah Belait – 258 keping diterima oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Haziman bin Haji Tengah, wakil Pegawai Daerah Belait;
• Daerah Tutong – 426 keping diterima oleh Yang Mulia Dayang Nur Sarlila binti Haji Panjang, wakil Pegawai Daerah Tutong;
• Daerah Temburong – 88 keping diterima oleh Yang Mulia Awang Haji Haris bin Othman, Pegawai Daerah Temburong.

Kesemua kupon-kupon tersebut disampaikan oleh tetamu kehormat majlis iaitu Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim, Ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Majlis pada pagi ini juga turut menyaksikan penerimaan sumbangan untuk DANA dengan keseluruhan berjumlah B$5,087.02 (Ringgit Brunei: Lima Ribu Lapan Puluh Tujuh dan Dua Sen Sahaja) daripada:

1. Syarikat Insurans Islam TAIB Sdn. Bhd. sebanyak B$4,587.02 (Ringgit Brunei: Empat Ribu Lima Ratus Lapan Puluh Tujuh dan Dua Sen Sahaja). Sumbangan ini disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nornaimah binti Haji Zainip, Pengurus Kanan Bahagian Kewangan selaku Wakil Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB Sdn. Bhd.
2. Syarikat Samima Sdn. Bhd. sebanyak B$500.00 (Ringgit Brunei: Lima Ratus Sahaja). Sumbangan ini disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Hidhayatulla bin Haji Tajudeen, Pengarah Urusan Syarikat Samima Sdn. Bhd.

Kedua-dua sumbangan tersebut disampaikan oleh tetamu kehormat majlis iaitu Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim, Ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Majlis pada pagi ini diteruskan dengan Pelancaran SMS Brunei Prihatin bagi DANA Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim (DANA) 2011 – 2012.

Projek SMS Brunei Prihatin bagi DANA ini akan berjalan selama lebih kurang 2 bulan (69 hari) iaitu bermula dari 24 November 2011 hingga 31 Januari 2012. Bagi menjayakan SMS Brunei Prihatin bagi DANA, dua buah syarikat telekomunikasi telah bersedia memberi kemudahan perkhidmatan SMS iaitu DST Group dan Syarikat Telekomunikasi B-Mobile Sdn. Bhd.

Disamping itu, Projek SMS Brunei Prihatin bagi DANA ini juga turut disokong oleh Jabatan Radio dan Televisyen Brunei (RTB) selaku penyalur maklumat kepada orang ramai. Selain promo SMS ditayangkan di RTB, tayangan tersebut juga akan ditayangkan di pawagam iaitu The Mall Cineplex, Mvision Cinema dan Seri Q-lap Cineplex.

Majlis diikuti dengan tayangan sebuah Dokumentari Drama DANA (Doku-Drama DANA) yang berkisar mengenai nasib anak-anak yatim yang kehilangan tempat bergantung dan kasih sayang dari seorang ayah. Sejurus selepas tayangan Doku-Drama DANA, majlis diteruskan lagi dengan sumbangan SMS Brunei Prihatin bagi DANA 2011 – 2012 yang didahului oleh tetamu kehormat.

Sebelum majlis diakhiri dengan doa selamat, majlis diteruskan dengan penyampaian poster SMS Brunei Prihatin bagi DANA 2011 – 2012 daripada Kumpulan DST yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Yusof, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan DST.

Turut hadir dimajlis ini ialah Pegawai-Pegawai Kanan Radio dan Televisyen Brunei, Pegawai-Pegawai Kanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai dari DST Group dan Syarikat Telekomunikasi B-Mobile Sdn. Bhd serta sebahagian para penyumbang DANA.

16-01-2012-02

16-01-2012-01