Pada hari ini Rabu, 7 Syaaban 1433H bersamaan 27 Jun 2012M, Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim 2012 (AIPC-DANA 2012) dan Majlis Penyampaian Sumbangan Hasil Kutipan 'SMS' Brunei Prihatin Bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) Tahun 2011 - 2012 bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Ustaz Hj Shamsul Muawan bin Hj Shodiq, Guru Ugama Sekolah Menengah YSHHB.

Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif DANA Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim.

Sejurus kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan hasil kutipan daripada SMS Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2011 – 2012 yang telah berjaya membuat kutipan dari orang ramai sebanyak B$70,513.00 (Ringgit Brunei: Tujuh Puluh Ribu Lima Ratus dan Tiga Belas Sahaja). Projek tersebut berjalan selama 69 hari bermula dari 24 November 2011 hingga 31 Januari 2012. Dua buah syarikat telekomunikasi iaitu Syarikat Kumpulan DST dan Syarikat Telekomunikasi B-Mobile Sdn. Bhd. memberi kemudahan perkhidmatan SMS kepada para penyumbang yang membuat sumbangan kepada DANA. Manakala Jabatan Radio dan Televisyen Brunei (RTB) bertindak sebagai penyalur maklumat kepada orang ramai melalui rangkaian radio dan televisyen RTB. Selain promo SMS ditayangkan di RTB, tayangan tersebut juga ditayangkan di pawagam iaitu The Mall Cineplex, Mvision Cinema dan Seri Q-lap Cineplex.

Sebahagian daripada jumlah tersebut iaitu sebanyak B$55,337.00 (Ringgit Brunei: Lima Puluh Lima Ribu Tiga Ratus Tiga Puluh Tujuh Sahaja) berjaya dikutip melalui Syarikat Kumpulan DST dan disampaikan oleh Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Yusof, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan DST dan sebahagiannya pula iaitu sebanyak B$15,176.00 (Ringgit Brunei: Lima Belas Ribu Satu Ratus Tujuh Puluh Enam Sahaja) berjaya dikutip melalui Syarikat B-Mobile Sdn. Bhd. dan disampaikan oleh Dayang Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar, Pemangku Pengurus Kanan Perhubungan Awam, Peraturan dan Perundangan Syarikat Telekomunikasi B-Mobile Sdn. Bhd.

Kedua-dua sumbangan daripada Syarikat Kumpulan DST dan Syarikat B-Mobile Communications Sdn Bhd. diterima oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad bin Haji Daud, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim.

Seterusnya majlis diikuti dengan penerimaan sumbangan kepada DANA yang keseluruhannya berjumlah sebanyak B$26,300.00 (Ringgit Brunei: Dua Puluh Enam Ribu dan Tiga Ratus Sahaja) daripada dua (2) pihak penyumbang iaitu:

1. Syarikat Kumpulan DST menyumbangkan sumbangan tahunan sebanyak B$20,000.00 (Ringgit Brunei:Dua Puluh Ribu Sahaja). Sumbangan daripada Syarikat Kumpulan DST itu disampaikan oleh Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Yusof, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan DST.

2. Sumbangan daripada Syarikat AFC Berhad yang disampaikan oleh Dayang Mary Chin, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat AFC Berhad memberikan sumbangan sebanyak B$6,300.00 (Ringgit Brunei: Enam Ribu Tiga Ratus Sahaja).

Pada tahun ini seramai tiga belas (13) orang pelajar yang terdiri dari anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tahun 2011 telah dipilih untuk menerima Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA 2012 (AIPC-DANA 2012). Pelajar-pelajar yang menerima anugerah tersebut adalah seperti berikut:

1. Bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama Darjah 6 (SSSRU), penerimanya ialah Dayang Raihanah binti Zakaria, Dayang Nur Haziqah binti Ibrahim dan Dayang Nurul Afiqah binti Lamit. Setiap seorang menerima 1 sijil penghargaan, 1 unit komputer berserta mesin pencetak, dan juga wang simpanan sebanyak B$500.00 yang dikreditkan terus ke Akaun DANA.

2. Bagi Penilaian Sekolah Rendah (PSR), penerimanya ialah Dayang Nur Afifah binti Haji Ali Amat, Dayang Nurul Aliyah Huang binti Mohd Faiz, Dayang Syela Saverna binti Awang Jamil, Dayang Siti Nurhashema binti Haji Hassan@Geany dan Dayang Dewi Kartini binti Haji Hassan. Setiap seorang menerima 1 sijil penghargaan, 1 unit komputer berserta mesin pencetak, dan juga pakej kemudahan belajar selama 2 tahun yang berupa pembelian pakaian dan buku-buku sekolah dalam bentuk wang tunai bernilai B$400.00.

3. Bagi Peperiksaan Brunei Cambridge GCE 'O' Level, penerimanya ialah Dayang Yasmin Faridah binti Abdul Manan, Dayang Toh Tieng Ley, Dayang Lim Huey Cheeng, Dayang Norashidah binti Haji Tengah dan Awang Pang Yo Ern@Jasper Pang. Setiap seorang menerima 1 sijil penghargaan, 1 unit komputer berserta mesin pencetak, dan juga pakej kemudahan belajar selama 2 tahun yang berupa pembelian pakaian dan buku-buku sekolah dalam berbentuk wang tunai bernilai B$760.00.

Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA pada tahun ini adalah merupakan kali ke-5 ianya diadakan yang mana tujuan utama mengadakan anugerah ini adalah sebagai pendorong kepada anak-anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dan sebagai penyuntik semangat dan galakan kepada mereka untuk terus berusaha bagi meraih kejayaan khususnya dalam bidang pelajaran.

Majlis Penyampaian Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA 2012 (AIPC-DANA 2012) ini telah disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad bin Haji Daud, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim.

Turut hadir dimajlis ini ialah Pengarah Radio dan Televisyen Brunei, pegawai-pegawai kanan Radio dan Televisyen Brunei, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, serta pegawai-pegawai dari DST Group dan Syarikat Telekomunikasi B-Mobile Sdn. Bhd.