Pada hari ini, 13 Muharram 1434 Hijrah bersamaan 27 November 2012 Masihi, Majlis Pelancaran SMS Brunei Prihatin Bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) Tahun 2012-2013 dan Penyampaian Sumbangan DANA Dalam Bentuk Kupon Untuk Pembelian Peralatan dan Keperluan Persekolahan Anak-Anak Yatim DANA Bagi Tahun 2013 diadakan bertempat di Dewan Serbaguna, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Ustaz Hj Samsul Muawan bin Hj Shodiq, Guru Sekolah Menengah Yayasan. Seterusnya ialah ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Puasa bin Haji Jumat, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis.

Seterusnya adalah penyampaian Promo 'SMS' Brunei Prihatin Bagi Dana Tahun 2012-2013 dalam bentuk cakera padat (DVD) daripada pihak Syarikat Syazana's Production House yang telah menaja pembikinan promo 'SMS' tersebut yang akan ditayangkan di Radio dan Televisyen Brunei termasuk di keempat-empat buah pawagam yang terlibat iaitu The Mall Cineplex, Mvision Cinema, Seri Q-lap Cineplex dan Plaza Sutera Biru. Penyampaian tersebut disampaikan oleh Yang Mulia Sheikh Aminul Khair bin Sheikh Haji Abas, wakil Pengurus Syarikat Syazana's Production House kepada Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif DANA.

Majlis pada pagi ini diteruskan dengan Pelancaran SMS Brunei Prihatin bagi DANA Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim (DANA) 2012 – 2013. Tujuan utama bagi mengadakan SMS Brunei Prihatin bagi DANA ini adalah untuk meningkatkan rasa pemedulian dan kasih sayang dikalangan masyarakat terhadap golongan yang kurang bernasib baik yang memerlukan perhatian dan bantuan khususnya anak-anak yatim. Di samping itu, projek ini juga adalah merupakan salah satu usaha DANA dalam mempelbagaikan cara atau mekanisme kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan mereka khusus kepada anak-anak yatim di negara ini.

Projek SMS Brunei Prihatin bagi DANA ini akan berjalan selama lebih kurang 2 bulan (66 hari) iaitu bermula dari 27 November 2012 hingga 31 Januari 2013. Bagi menjayakan SMS Brunei Prihatin bagi DANA, dua buah syarikat telekomunikasi telah bersedia memberi kemudahan perkhidmatan SMS iaitu DST Group dan Syarikat Telekomunikasi B-Mobile Sdn. Bhd. Orang ramai yang berhasrat untuk membuat sumbangan mereka kepada anak-anak yatim melalui SMS Brunei Prihatin bagi DANA bolehlah memberi sumbangan melalui SMS sama ada B$1.00 atau B$5.00 atau B$10.00 atau B$15.00 atau B$20.00. Setiap SMS yang dikirim khusus bagi sumbangan ini tidak akan dikenakan sebarang caj perkhidmatan oleh kedua-dua syarikat telekomunikasi berkenaan.

Bagi pengguna talian DST dan juga pengguna talian B-Mobile yang ingin membuat sumbangan bolehlah menaip kata laluan DANA dan diikuti dengan jumlah sumbangan (1 atau 5 atau 10 atau 15 atau 20) tanpa jarak dan menghantarnya ke nombor 38111. Misalnya : DANA5 (bagi sumbangan B$5.00). Sementara itu, sumbangan melalui 'wap portal' masih lagi diteruskan sebagai kemudahan bagi pengguna talian B-Mobile.

Majlis diikuti dengan tayangan Promo SMS Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2012-2013 dan diteruskan lagi dengan sumbangan SMS Brunei Prihatin bagi DANA 2012-2013 yang didahului oleh tetamu kehormat.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian poster SMS Brunei Prihatin bagi DANA 2012-2013 daripada Kumpulan DST yang disampaikan oleh Hajah Fa'ikah binti Ahmad, Penolong Pengurus Am DST (wakil Yang Mulia Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Yusof, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan DST) kepada tetamu kehormat majlis.

Sebanyak 2,919 keping kupon akan disampaikan di majlis ini iaitu bagi:
• Daerah Brunei dan Muara diterima oleh Yang Mulia Mohammad Ede Fadle Haji Shamsu, wakil Pegawai Daerah Brunei dan Muara;
• Daerah Belait diterima oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Jeffrynul Hafli bin Pengiran Haji Ali, Penolong Pegawai Daerah Belait;
• Daerah Tutong diterima oleh Yang Mulia Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, Pemangku Pegawai Daerah Tutong;
• Daerah Temburong diterima oleh Yang Mulia Ampuan Noor Irawaty binti Ampuan Haji Razid, wakil Pegawai Daerah Temburong.

Kesemua kupon-kupon tersebut disampaikan oleh tetamu kehormat majlis iaitu Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif DANA.

Sumbangan kupon tersebut akan diserahkan kepada anak-anak yatim melalui ketua-ketua kampong. Setiap seorang anak yatim yang berdaftar di Sekretariat DANA akan menerima sumbangan berbentuk kupon yang bernilai sebanyak B$50.00 (Ringgit Brunei : Lima Puluh Sahaja).

Kupon-kupon ini sah ditukarkan / digunakan di kedai-kedai yang telah dikenalpasti oleh DANA iaitu kedai-kedai yang membekalkan buku-buku latihan, buku-buku kerja, peralatan tulis, pakaian sekolah, beg dan kasut sekolah serta kedai-kedai yang membekalkan barang-barang keperluan harian kanak-kanak (bagi anak yatim yang belum bersekolah). Sebanyak 22 buah syarikat yang membekalkan barang-barang tersebut telah dikenalpasti oleh DANA yang terletak di keempat-empat buah daerah bagi memberikan kemudahan kepada anak-anak yatim dan penjaga mereka untuk menukarkan kupon berkenaan dengan peralatan persekolahan yang mereka diperlukan.

Sumbangan ini dihasratkan bagi memberi galakan dan kesedaran dikalangan anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dalam kehidupan mereka dimasa hadapan dan seterusnya memberi dorongan kepada mereka untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka. Bagi ibu dan penjaga pula, sumbangan ini dihasratkan bagi meringankan bebanan perbelanjaan yang ditanggung khususnya apabila menjelang penggal awal persekolahan anak-anak mereka. Adalah diharapkan bantuan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak yatim dan penjaga mereka.

Majlis pada pagi ini juga turut menyaksikan penerimaan sumbangan untuk DANA dengan keseluruhan berjumlah B$8,460.76 (Ringgit Brunei: Lapan Ribu Empat Ratus Enam Puluh dan Tujuh Puluh Enam Sen Sahaja) daripada:

1. Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebanyak B$3,644.66 (Ringgit Brunei: Tiga Ribu Enam Ratus Empat Puluh Empat dan Enam Puluh Enam Sen Sahaja) iaitu 10% hasil kutipan daripada Walkathon Sempena 10 Tahun Penubuhan Sekolah Rendah Yayasan yang telah diadakan pada 14 Oktober 2012 lalu. Sumbangan ini disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Norbaini binti Haji Abdullah, Guru Besar Sekolah Rendah Yayasan.

2. Syarikat BISMI sebanyak B$2,000.00 (Ringgit Brunei: Dua Ribu Sahaja). Sumbangan ini disampaikan oleh Yang Mulia Awang Jamal bin Mohammad, Pengurus Syarikat BISMI.

3. Sekolah Saint John sebanyak B$1,816.10 (Ringgit Brunei: Satu Ribu Lapan Ratus Enam Belas dan Sepuluh Sen Sahaja) iaitu merupakan 5% dari hasil kutipan acara walkathon Sekolah Saint John pada tahun ini. Sumbangan ini disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Dr Teh Keng Watt, Pengetua Sekolah Saint John.

4. Syarikat Qalif Bookstore sebanyak B$1,000.00 (Ringgit Brunei: Satu Ribu Sahaja). Sumbangan ini disampaikan oleh Yang Mulia Haji Mohammad bin Bakar, Pengurus Syarikat Qalif Bookstore.

Kesemua sumbangan tersebut diterima oleh tetamu kehormat majlis iaitu Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif DANA.

Dengan terlaksananya projek ini insyaAllah akan dapat memberikan kemudahan kepada setiap individu untuk menyalurkan sumbangan derma mereka hanya dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing. Semoga sumbangan ikhlas dari orang ramai akan dapat membantu menceriakan masa depan anak-anak yatim dan menjadi amal jariah untuk meningkatkan dan mewujudkan rasa kasih sayang, belas kasihan dan pemedulian kepada anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir dimajlis ini ialah Pegawai-Pegawai Kanan Radio dan Televisyen Brunei, Pegawai-Pegawai Kanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai dari DST Group dan Syarikat Telekomunikasi B-Mobile Sdn. Bhd serta sebahagian para penyumbang DANA.