2017-1128-sms01

Pada hari, Selasa, 9 Rabiulawal 1439H bersamaan 28 November 2017M, Majlis Pelancaran 'SMS' Brunei Prihatin Bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) Tahun 2017-2018 dan Penyampaian Sumbangan DANA Dalam Bentuk Kupon Untuk Pembelian Peralatan dan Keperluan Persekolahan Anak-Anak Yatim DANA Bagi Tahun 2018 telah diadakan bertempat di Dewan Serba Guna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hadir sebagai tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Tujuan utama bagi mengadakan 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA adalah untuk meningkatkan rasa pemedulian dan kasih sayang di kalangan masyarakat terhadap anak-anak yatim. Projek ini juga adalah merupakan salah satu usaha DANA dalam mempelbagaikan cara atau mekanisme yang mudah untuk orang ramai menyalurkan sumbangan ikhlas mereka khusus kepada anak-anak yatim di negara ini.

Projek SMS Brunei Prihatin bagi DANA 2017-2018 akan berjalan selama 65 hari iaitu bermula dari 28 November 2017 hingga 31 Januari 2018. Bagi menjayakan 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA, dua buah syarikat telekomunikasi telah bersedia memberi kemudahan perkhidmatan SMS iaitu DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn. Bhd. Orang ramai yang berhasrat untuk membuat sumbangan mereka kepada anak-anak yatim melalui SMS Brunei Prihatin bagi DANA bolehlah memberi sumbangan melalui SMS sama ada B$1.00 atau B$5.00 atau B$10.00 atau B$15.00 atau B$20.00. Setiap SMS yang dikirim khusus bagi sumbangan ini tidak akan dikenakan sebarang caj perkhidmatan oleh kedua-dua syarikat telekomunikasi berkenaan.

Bagi pengguna talian DST dan juga pengguna talian Progresif Cellular yang ingin membuat sumbangan bolehlah menaip kata laluan DANA dan diikuti dengan jumlah sumbangan (1 atau 5 atau 10 atau 15 atau 20) tanpa jarak dan menghantarnya ke nombor 38111. Misalnya : DANA5 (bagi sumbangan B$5.00).

Dalam membantu mempromosikan 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2017-2018, Syarikat Lailatul Shazana's Studio telah menaja perkhidmatan penyediaan promo 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2017-2018. Promo ini akan ditayangkan di Radio dan Televisyen Brunei dan di pawagam-pawagam yang terlibat iaitu The Mall Cineplex, Times Cineplex dan The Arena Cineplex.

DANA menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dalam bentuk kupon bagi pembelian peralatan dan keperluan persekolahan bagi tahun 2018. Sebanyak 3,800 keping kupon disumbangkan kepada seramai 3,800 orang anak-anak yatim yang berdaftar di Sekretariat DANA di seluruh negara. Setiap seorang anak yatim akan menerima sumbangan kupon yang bernilai sebanyak B$70.00.

Kupon-kupon tersebut diserahkan kepada Pegawai-Pegawai Daerah iaitu:

  • Daerah Brunei dan Muara diterima oleh Yang Mulia Awangku Hafis bin Pengiran Damit, wakil Pegawai Daerah Brunei dan Muara;
  • Daerah Belait diterima oleh Yang Mulia Awang Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim, Pemangku Pegawai Daerah Belait;
  • Daerah Tutong diterima oleh Yang Mulia Awang Haji Adnan bin Haji Adam, Pemangku Pegawai Daerah Tutong; dan
  • Daerah Temburong diterima oleh Yang Mulia Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud, Pegawai Daerah Temburong;

2017-1128-sms02

Kupon-kupon tersebut seterusnya akan diserahkan kepada anak-anak yatim di seluruh negara melalui ketua-ketua kampong masing-masing. Kupon-kupon ini sah ditukarkan atau digunakan di 32 buah syarikat yang membekalkan barang-barang tersebut telah dikenalpasti oleh DANA yang terletak di keempat-empat buah daerah, iaitu kedai-kedai yang membekalkan buku-buku latihan, buku-buku kerja, peralatan tulis, pakaian sekolah, beg dan kasut sekolah serta kedai-kedai yang membekalkan barang-barang keperluan harian kanak-kanak bagi anak yatim yang belum bersekolah. Sumbangan ini dihasratkan bagi memberi galakan dan kesedaran di kalangan anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dalam kehidupan mereka di masa hadapan dan seterusnya memberi dorongan kepada mereka untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka. Bagi ibu dan penjaga pula, sumbangan ini dihasratkan bagi meringankan bebanan perbelanjaan yang ditanggung khususnya apabila menjelang penggal awal persekolahan anak-anak mereka. Adalah diharapkan bantuan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak yatim dan penjaga mereka.

Semasa majlis ini juga, DANA menerima sumbangan berjumlah B$3,820.00 daripada Persatuan Bekas Penuntut-Penuntut Brunei di Singapura (AKBS) 1965-1986 yang disampaikan oleh Awang Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin. Turut hadir dimajlis ini ialah Yang Mulia Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, Ketua Pegawai Eksekutif DANA; Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, dan Jabatan Hal Ehwal Masjid; Pegawai-Pegawai Kanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Pegawai-Pegawai dari DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn. Bhd